Pengarah syarikat direman bantu siasatan rasuah RM2 juta - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat direman bantu siasatan rasuah RM2 juta

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung pemberian suapan RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkaitan kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membenarkan lelaki berusia 63 tahun itu direman bermula hari ini hingga 1 Mac ini.

Semalam media melaporkan pengarah syarikat itu ditahan di Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 3.10 petang kerana disyaki memberi suapan berjumlah RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan KTMB.

Menurut sumber, suapan tersebut dipercayai diberikan kepada pegawai dan kakitangan terlibat bagi membantu syarikat lelaki itu mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand.

Kes itu dipercayai berlaku pada 2016 dan 2017 dan pihak SPRM masih menyiasat jumlah individu yang menerima rasuah tersebut.

Tambahnya, setakat ini SPRM telah menggeledah pejabat dan rumah lelaki berkenaan.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN