GUA MUSANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu tirinya di sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek di sini minggu lalu.
Tertuduh, Abdul Aziz Abdullah, 33, seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Rahana Abd. Razak, 55, dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan kepala terpenggal selepas lelaki tersebut mengaku membunuh ibu tirinya menggunakan sebilah parang.
Bapa kandung tertuduh berkata, dia kerap bergaduh dengan anaknya yang sering meminta wang untuk membeli pil kuda. – UTUSAN