BAGAN SERAI: Penduduk di sini meminta program perhimpunan peminat motosikal, Santai Anak Utara (SAU) 2020 yang dijadual diadakan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini pada Sabtu ini ditangguhkan berikutan kes Covid-19 yang meningkat di Daerah Kerian.
Penduduk, Mohd. Razif Mohd. Rashid, 42, berkata, perhimpunan itu tidak sesuai dilakukan pada masa sekarang dan tidak memberi faedah kepada penduduk dan golongan muda di sini.
“Apa faedahnya program seperti itu kepada penduduk setempat dan golongan muda di daerah ini? Himpunan SAU 6.0 pada Oktober tahun 2018 di tempat yang sama lebih mendatangkan kemudharatan daripada kebaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mohd. Razif turut menyokong kenyataan Ketua Polis Perak baru-baru ini agar himpunan itu ditangguhkan berikutan Covid-19 semakin bertambah.
Katanya, jika Ketua Polis negeri sendiri telah mengeluarkan kenyataan sedemikian, sepatutnya pihak-pihak yang terlibat dalam penganjuran itu perlu peka dan memahami situasi yang melanda.
“Sesiapa pun yang menganjur acara seperti ini akan berjanji kepada pihak berkuasa untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhinya. Tetapi adakah pelaksanaan di lapangan nanti mampu mengawal keseluruhan peserta yang hadir? Soalnya.
Seorang lagi penduduk, Zikril Hakim Mohammad, 42, juga bersetuju agar himpunan itu ditangguhkan dan tidak sepatutnya diadakan di daerah ini ketika kes Covid-19 semakin tinggi.
Katanya, program itu tidak perlu diteruskan kerana ia tidak memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
“Program ini lebih banyak mendatangkan kemudharatan seperti berlakunya gejala sosial, pelanggaran SOP yang menyebabkan jangkitan Covid-19 makin merebak. Pada saya program ini tidak membawa apa-apa matlamat. Jika nak kata mengeratkan hubungan semasa penunggang motosikal, di mana -mana pun boleh, tak perlu tunggu acara perhimpunan,” katanya.
Seorang remaja, Nor Farhana Hanim, 17, mengakui meminati program itu namun mahu ia ditangguhkan sehingga Covid-19 reda.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Mior menasihatkan agar himpunan peminat motosikal itu ditangguhkan berikutan kes Covid-19 semakin meningkat. – UTUSAN