Pendapatan pesawah merosot 50 peratus - Utusan Malaysia

Pendapatan pesawah merosot 50 peratus

KENAIKAN harga input pertanian kebelakangan ini memberi kesan kepada pendapatan pesawah khususnya yang mengusahakan tanaman padi secara menyewa. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenaikan harga input pertanian kebelakangan ini menyebabkan pendapatan pesawah khususnya yang mengusahakan tanaman padi secara menyewa mengalami kemerosotan sehingga 50 peratus.

Kenaikan harga pelbagai jenis input pertanian seperti racun rumput, racun serangga dan vitamin tanpa subsidi menyebabkan kos tanaman padi turut meningkat disebalik hasil tuaian para petani yang tidak menentu.

Pesawah memaklumkan, harga racun rumput dahulu sekitar RM45 bagi empat liter meningkat kepada RM90 manakala racun serangga dari RM25 seliter naik kepada RM45 hingga RM48.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah dari Santan, Mansor Hasan, 64, yang mengusahakan tanaman padi secara sewaan berkata, secara purata pendapatannya berkurangan hampir 50 peratus setelah mengambil kira kenaikan harga input pertanian.

Katanya, kos untuk mengusahakan 0.288 hektar bendang secara sewaan dianggarkan RM1,000 termasuk kos membajak sehinggalah padi dihantar ke kilang untuk diproses.

“Daripada RM1,000 itu, RM400 adalah kos untuk sewa bendang, benih padi (RM100), pembajakan serta tabur selerak (RM240), perkhidmatan mesin padi (RM140) dan lain-lain upah seperti racun, angkut padi dianggarkan sekitar RM200. Bagaimana hendak mendapatkan pendapatan lebih jika input pertanian meningkat.

“Pendapatan pesawah menyewa terutamanya di sebelah Perlis utara seperti di mukim Padang Pauh pada musim pertama setiap tahun yang bermula April atau Mei bagi 0.288 hektar adalah sekitar RM1,800 hingga RM2,000,” katanya.

Tambah Mansor, pendapatan pesawah yang tidak menentu juga dipengaruhi beberapa faktor seperti cuaca, keadaan tanah, tahap penjagaan tanaman padi, penyakit dan sebagainya.

Menurutnya, kos sewaan tanah bendang di sebelah Perlis utara sekitar RM300 hingga RM400 dan ia sedikit rendah berbanding di sebelah selatan seperti kawasan Tambun Tulang kerana tanah dan sistem pengairan di situ lebih baik yang dipantau oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

“Jika seseorang pesawah mengusahakan tanaman padi di tanah sendiri, dia akan mendapat lebih banyak pendapatan. Bagi kami yang mengusahakan tanaman padi secara sewaan, kenaikan input pertanian adalah satu beban.

“Isu sebenar juga adalah kelewatan input pertanian terutamanya racun, input pertanian itu sepatutnya diterima lebih awal sebelum musim penanaman bermula. Apabila ia lewat sampai, petani terpaksa membeli racun tidak bersubsidi yang harganya melambung tinggi di pasaran,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Zahid Othman, 53, berkata, kerajaan wajar menyelesaikan isu kenaikan harga input pertanian dengan segera berikutan masalah tersebut sangat membebankan para pesawah.

“Sekiranya harga input pertanian dapat diturunkan ia dapat mengurangkan kos tanaman padi sekali gus meringankan beban sara hidup petani memandangkan harga barangan lain juga turut meningkat.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi kupon potongan harga pada pasaran terbuka kepada pembekal racun yang diiktiraf mengikut nilai subsidi memandangkan racun bersubsidi kurang berkualiti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya