PETALING JAYA: Liputan dan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) semakin meningkat sejak dilancarkan pada 3 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan itu menunjukkan ibu bapa di negara ini mahu memberikan perlindungan kepada anak-anak daripada virus Covid-19.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar fitnah berhubung suntikan pelalian tersebut.
“Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak. Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.
Khairy juga memuat naik statistik terbaharu pendaftaran PICK Kids dengan menunjukkan sebanyak 892,974 pendaftaran berbanding pada 3 Februari lalu iaitu seramai 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendaftar menyertainya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali sebelum ini telah menegaskan PICKids menerima perkembangan positif.
Ini katanya, apabila seramai 135,478 kanak-kanak di bawah 12 tahun menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksinasi berkenaan setakat 12 Februari lalu.
Kesan sampingan
Daripada jumlah itu, hanya lapan laporan diterima mengenai kesan sampingan selepas menerima vaksin Cormirnaty Formulari iaitu ruam, bengkak bahagian muka, batuk-batuk dan keletihan.
Katanya, pada 12 Februari seramai 37,395 kanak-kanak menerima suntikan.
Ia adalah pencapaian tertinggi sejak PICKids bermula dan dijangka bilangan itu meningkat pada 14 Februari ekoran pembukaan pusat pemberian vaksinasi di sekolah.
Menurutnya, seramai 5,907 kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dengan masalah kesihatan menerima dos pertama vaksin Comirnaty.
“Sarawak menunjukkan pencapaian vaksinasi tertinggi dengan 9.8 peratus kanak-kanak lima hingga bawah tahun di negeri tersebut telah menerima vaksinasi, diikuti dengan Melaka dan Lembah Klang dengan 8.8 peratus.
“Dari segi taburan umur, 5.3 peratus kanak-kanak berusia 11 tahun telah menerima vaksinasi diikuti dengan 13.6 peratus kanak-kanak 10, 11.4 peratus kanak-kanak Sembilan tahun.
“Selain itu, 9.9 peratus kanak-kanak lapan tahun, 9.5 peratus kanak-kanak tujuh tahun, 4.5 peratus dan 2.6 peratus bagi kategori umur enam dan lima tahun,” katanya.– UTUSAN