Penangan tular, 80kg Laksa Kak Wa terjual dalam sehari - Utusan Malaysia

Penangan tular, 80kg Laksa Kak Wa terjual dalam sehari

LAKSA Kak Wa bukan sahaja dikenali dalam kalangan penduduk setempat, malah turut tular di dalam media sosial sehingga menarik kehadiran pelanggan dari beberapa negeri lain termasuk Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Bermula dengan hanya berniaga kira-kira dua kilogram (kg) laksa sehari, siapa sangka Wati Aisah Baharudin, 51, kini mampu menjual sehingga 80kg laksa untuk tempoh sama.

Menurut pemilik Laksa Kak Wa yang tular sejak hujung tahun lepas itu, pelbagai cabaran dilaluinya sepanjang tujuh tahun terlibat dengan perniagaan makanan tersebut.

“Dahulu, saya pekerja kilang sebelum nekad berhenti dan mengambil VSS (pampasan skim pemisahan sukarela) yang ditawarkan untuk memulakan kehidupan baharu.

“Tapi, saya tak pernah terfikir untuk menjual laksa pada waktu itu. Walaupun memang hampir setiap masa terbayang mempunyai perniagaan sendiri terutamanya semasa letih bekerja untuk syif malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas ibu kepada empat cahaya mata itu, ketika memulakan perniagaan sekitar pertengahan 2015, dia dan suami, Ishak Hashim, 56, turut menjual rojak dan cendol di sekitar kawasan Penanti.

Bagaimanapun katanya, pertambahan pelanggan hampir setiap hari menyebabkan mereka tidak ‘menang tangan’. Terpaksa menumpukan perhatian terhadap perniagaan laksa dan air sirap semata-mata.

Berkat kesabaran, laksa jenama Kak Wa kini berjaya menggamit kehadiran pelanggan bukan sahaja dari sekitar Pulau Pinang. Malah dari beberapa negeri lain termasuk Melaka, Pahang, Kuala Lumpur. Terutama selepas kisah makanan itu ditularkan menerusi media sosial termasuk aplikasi Facebook dan TikTok.

Pindah lokasi

Sehingga kini kata Wati Aisah, lebih 400 pelanggan dianggarkan datang ke kedainya setiap hari. Dia bersyukur dengan sambutan yang diterima terhadap laksanya walaupun telah berpindah lokasi iaitu ke Guar Jering di sini sejak bulan lepas.

“Laksa ini ramuan saya sendiri dan buat masa ini juga, hanya saya yang menyediakan kuahnya. Walaupun perniagaan kami sekarang turut dibantu ahli keluarga lain selain beberapa orang anak saya.

“Mungkin disebabkan itu jugalah (terpaksa menyediakan kuah laksa sendirian) saya dan suami belum terfikir untuk membuka cawangan lain.

“Walaupun ada permintaan kerana masih tidak ‘menang tangan’ untuk menyediakan laksa dalam jumlah yang banyak setiap hari ketika ini,” katanya.

Laksa yang dijual oleh Wati Aisah berharga antara RM3 hingga RM5 dengan laksa sotong menjadi antara menu kegemaran mereka yang sering ke gerainya terutama dalam kalangan pelanggan tetap.

“Walaupun kos barang terutamanya telur dan ikan agak mahal ketika ini, kami akan cuba untuk mengekalkan harga dan kualiti Laksa Kak Wa demi kepuasan pelanggan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya