JERANTUT: Tanda awal banjir akan berulang buat kali kedua pada tahun ini di daerah ini bermula apabila Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini mula dilimpahi air Sungai Tembeling kira-kira pukul 5 pagi hari ini.
Siren amaran awal supaya berwaspada kenaikan air Sungai Tembeling sudah berada di paras bahaya juga telah dibunyikan pukul 5.30 pagi hari ini.
Berikutan amaran angin monsun luruan masih aktif sejak awal tahun ini menyebabkan hujan lebat masih turun di kawasan hulu Sungai Tembeling dan Sungai Gusai sejak tiga hari lalu sehingga paras air naik melimpah ke kawasan dataran kedai kopi dan rumah yang dibina di pesisir sungai Kampung tersebut.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rasid berkata, hujan lebat sejak tiga hari lalu sehingga ke hari ini menyebabkan hulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia menyaksikan paras kenaikan air begitu cepat dan arus mula deras yang membawa batang kayu, reba ranting dan daun serta sampah.
“Kami di sini sudah menjangkakan fenomena banjir kilat akan berlaku memandangkan hujan lebat dalam tempoh ini sehingga paras air Sungai Tembeling naik dan mula melimpah sejak awal pagi hari ini malah siren amaran berbunyi.
“Saya yakin sekiranya hujan berterusan paras air akan naik dan melimpah ke kawasan rumah, kedai, jeti bot penambang dan kawasan dataran kampung ini dan bermakna banjir kilat berulang seperti kejadian pada 17 Disember 2021 selama seminggu dan awal tahun ini,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.
Bagi Zaimi Abdullah selanjutnya menambah belum habis kesan banjir kilat berlaku pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini, tiba-tiba kami sudah dikejutkan bunyi siren amaran banjir sebelum waktu Subuh hari ini.
“Namun, penduduk di sini sudah kerap mengalami suasana ini dan sudah tegar serta bersedia sekiranya kemungkinan berlaku banjir semula ataupun keadaan yang sama sebelum ini.
“Kita berdoa serta berharap hujan tidak berterusan kerana disebabkan bencana banjir ini menyebabkan penduduk tidak dapat bekerja di samping urusan ke bandar Jerantut, membawa anak bercuti dan kesulitan bagi mereka yang menggunakan bot penambang,” katanya. – UTUSAN