Pemimpin Semenanjung perlu ikhlas bangunkan Sabah, Sarawak

Pemimpin Semenanjung perlu ikhlas bangunkan Sabah, Sarawak

PANDIKAR AMIN MULIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mengubah gelaran Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah bukan perkara pokok yang harus difikirkan pada masa ini.

Keutamaan sekarang adalah menuntut peruntukan pembangunan yang setara dengan Semenanjung seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tiada ertinya membuat pindaan Perlembagaan Negeri untuk mengubah gelaran tertentu dengan harapan kedudukan Sabah dan Sarawak menjadi lebih baik.

Dahulu gelaran Yang Dipertua Negara diubah bagi menyesuaikan keadaan kerana Sabah sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia jadi, tidak mungkin sebuah negara mempunyai dua ketua negara.

Pertukaran gelaran Ketua Menteri kepada Premier pula memberi gambaran seolah-olah Malaysia mempunyai sistem seperti Australia yang memanggil ketua-ketua kerajaan negeri sebagai Premier.

“Harus diingat keberadaaan kedua-dua negeri itu agak istimewa kerana hanya pentadbiran kedua-dua negeri ini menggunakan gelaran Ketua Menteri dan Menteri.

“Biarpun Pulau Pinang dan Melaka turut menggunakan gelaran Ketua Menteri namun, mereka masih menggunkan gelaran Exco bagi barisan Kabinet Negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) itu berkata, tiada faedah Perlembagaan dicantikkan dan istilah ditukar sekiranya peruntukan yang diterima Sabah dan Sarawak masih seperti dahulu dan tidak ditingkatkan.

Pertikaian sekarang adalah mengenai peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak yang tidak setimpal walaupun kedua-dua negeri ini pengeluar minyak dan gas terbesar di negara ini.

Justeru, penyelesaian tuntas bagi menangani keadaan kemiskinan di Sabah bukan dengan mengubah istilah atau gelaran dalam Perlembagaan Negeri Sabah sebaliknya, tuntut peruntukan pembangunan yang lebih besar dan setimpal dengan hasil yang disumbangkan oleh Sabah.

Jelas beliau, sampai bila pemimpin Semenanjung tidak membuka hati dengan berbaik sangka dan ikhlas dengan kedua-dua negeri ini . Jangan paksa rakyatnya rasa seperti diabaikan sejak merdeka.

“Sudah sampai masanya pemimpin Semenanjung bersikap seperti Presiden Indonesia Joko Widodo yang melihat Kalimantan sebahagian wilayah Indonesia sehingga mahu memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan.

“Anggaplah kedua-dua negeri in sebagai wilayah yang perlu dibangunkan seperti membangun Pulau Pinang hingga ke Johor. Sekiranya itu dibuat, semua rakyat Malaysia akan gembira. Jangan anggap pembangunan kedua-dua negeri ini tidak memberi manfaat ekonomi kepada negara,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya