Pemilik syarikat pelancongan didakwa pindah RM1.15 juta secara haram - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat pelancongan didakwa pindah RM1.15 juta secara haram

NORANI Ismail dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik sebuah syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi berjumlah RM1.15 juta.

Norani Ismail, 66, pemilik Inter City Services & Travel Sdn. Bhd. didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram melalui lima transaksi berlainan melibatkan tiga buah bank.

Tuduhan pertama, wanita tersebut didakwa memindahkan wang RM700,000 daripada akaun semasa Malayan Banking Berhad milik syarikat ke dalam akaun semasa kepunyaannya.

Tuduhan kedua, dia didakwa memindahkan wang RM270,000 daripada akaun syarikat ke dalam akaun CIMB miliknya.

Tuduhan ketiga, dia didakwa memindahkan wang RM100,000 daripada akaun syarikat ke dalam akaun semasa Hong Leong Bank Berhad milik syarikatnya.

Norani turut menghadapi dua pertuduhan memindahkan wang masing-masing sebanyak RM26,000 dan RM54,000 daripada akaun syarikatnya ke dalam akaun Maybank milik anaknya.

Kelima-lima kesalahan itu dilakukan di antara 25 Januari dan 3 Oktober 2019 di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Bintang di sini.

Pendakwaan dikemukakan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan adalah serius.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan dengan satu kes lain yang juga melibatkan tertuduh.

Bagaimanapun peguam Vinod Sharma yang mewakili wanita itu memohon mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan RM15,000 yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam bagi kes tersebut.

Peguam menyatakan, Norani telah didakwa pada tahun 2020 atas pertuduhan predikat dan mahkamah ketika itu telah memberikan jaminan RM15,000 manakala pasportnya ditahan sebagai syarat jaminan.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin dengan mengguna pakai jaminan RM15,000 seperti yang dikenakan sebelum ini.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang akan disebut pada 8 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya