Pembantu tadbir sekolah didenda RM10,000 palsu dokumen - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir sekolah didenda RM10,000 palsu dokumen

SEORANG wanita (kanan) didenda RM10,000 atas kesalahan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pembantu tadbir sekolah agama didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan memalsukan dokumen memperoleh gaji lebih tinggi daripada sepatutnya dengan nilai keseluruhan yang dipalsukan sebanyak RM1,214.75 antara April hingga Ogos 2020.

Tertuduh, Nur Suhada Saad, 32, yang juga ibu kepada tiga orang anak berusia setahun hingga sembilan tahun itu membuat pengakuan setelah semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen ‘Application Form’, ‘Instruction Letter’ dan Senarai Pembayaran Gaji sebagai tulen untuk kenaikan pembayaran gaji kepadanya sebanyak RM260.75 pada 17 April 2020 di Bank Islam, Kompleks PKENPs, Kangar. 

Pertuduhan kedua, wanita tersebut dituduh melakukan perkara sama dengan melibatkan jumlah kenaikan pembayaran gaji kepadanya sebanyak RM204.75 pada 13 Mei di bank yang sama.

Dibuang kerja

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, wanita yang sebelum ini menerima gaji kira-kira RM1,200 dan kini menganggur setelah dibuang kerja didakwa mengulangi tindakan sama pada 18 Jun, 13 Julai dan 5 Ogos 2020  yang masing-masing melibatkan jumlah kenaikan pembayaran gaji kepadanya sebanyak RM249.75 di bank yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun sama dan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Peguam dari Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mohamad Ikhwan dalam hujahnya memohon hukuman denda yang paling minima terhadap tertuduh kerana perbuatan tersebut adalah kesalahan pertamanya dan wanita itu juga sudah kesal dengan tindakannya.

“Tertuduh yang mengalami masalah kewangan sejak dibuang kerja kini tinggal bersama kedua ibu bapanya dan hanya bergantung kepada pencen bapanya iaitu RM1,000 sebulan.

“Suami tertuduh yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur juga hanya menerima gaji sebanyak RM1,200 sebulan, di samping mempunyai anak-anak yang masih kecil,” ujarnya.

Sementara itu, Sew Ping meminta hukuman yang setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan dapat menyampaikan mesej kepada umum untuk tidak melakukan kesalah tersebut.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Ibrahim menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara tiga bulan jika gagal membuat pembayaran dan tertuduh kemudian membayar denda dan dilepaskan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya