Pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah minta sogokan tawar projek Petronas - Utusan Malaysia

Pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah minta sogokan tawar projek Petronas

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh, Herisyam Abdul Wahid yang didakwa meminta wang sebanyak RM100,000 daripada seorang kontraktor sebagai balasan bagi menawarkan projek projek penggantian saluran paip gas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan berdepan penjara lima tahun dan denda apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta RM100,000 daripada seorang kontraktor sebagai balasan bagi menawarkan projek penggantian saluran paip gas syarikat Petronas Gas Bhd. di Terengganu pada 2018.

Tertuduh, Herisyam Abdul Wahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada April 2018 dekat sebuah restoran di Persiaran Sukan, Seksyen 13 di sini bagi membantu individu, Mohd. Hafidz Mohd. Ismail, 40, mendapatkan projek Engineering, Procurement, Construction & Commissioning (EPCC).

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab, kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Herisyam, 47, memohon supaya jaminan dikurangkan berdasarkan latar belakang keluarga dan pekerjaan tertuduh.

“Tertuduh mempunyai enam orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), sementara isteri pula tidak bekerja.

“Tertuduh juga bekerja sebagai pembantu kedai dobi dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari dan perlu membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan serta meneruskan kelangsungan hidup atas ihsan adik beradik tertuduh,” katanya.

Tambahnya, Herisyam turut berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan jaminan sebanyak RM12,000 dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Kata Mohd. Baharuddin lagi, tertuduh juga dikatakan hanya mampu mengumpulkan wang sebanyak RM6,000 dan tidak pernah melarikan diri serta sentiasa memberikan kerjasama terhadap siasatan dan prosiding yang dihadapinya.

Mahkamah kemudian menetapkan Herisyam diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM berdekatan (Selangor) pada setiap awal bulan.

Selain itu, Rozilah turut membenarkan pertuduhan ini dipindahkan untuk dibicarakan bersama dengan empat lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Februari ini.

Herisyam pada 20 Januari lalu juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob atas empat pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 417 akta sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu apabila meminta sejumlah wang RM167,000 daripada individu sama dekat beberapa lokasi seperti di Bandar Permaisuri, Cheras; Jalan Bukit Bintang dan Putrajaya antara Mac hingga Jun.

Selain ikat jamin, Rozina turut memerintahkan Herisyam membuat akuan bersumpah apabila memaklumkan pasportnya tamat tempoh selepas diarahkan untuk menyerahkannya kepada mahkamah.

Beliau juga mengarahkan tertuduh disenarai hitam daripada ke luar negara sehingga kes selesai. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya