TEMERLOH: Pemandu kereta Perodua Axia yang melanggar lampu isyarat merah sehingga nyaris menyebabkan kemalangan di lampu isyarat Jalan Bahagia di sini, ditahan polis semalam.
Pemandu wanita itu difahamkan bertindak memecut keretanya ketika lampu isyarat bertukar kuning sebelum melanggar lampu merah di Jalan Bahagia di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Azhar Mohd. Yusof berkata, pemandu berusia 30 tahun itu dikesan di rumahnya, di sini.
“Berdasarkan siasatan kejadian berlaku pada 18 Februari lalu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya di sini.
Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi 38 saat memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih yang memecut laju sehingga hampir melanggar penunggang motosikal yang bergerak ketika lampu isyarat bertukar hijau di Jalan Bahagia.
Azhar berkata, polis berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis dalam kes ini.
Beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan termasuk memandu dengan berhemah dan tidak melanggar lampu isyarat. – UTUSAN