Pelbagai barangan guna cap dagangan daftar palsu dirampas - Utusan Malaysia

Pelbagai barangan guna cap dagangan daftar palsu dirampas

PEGAWAI PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa barangan yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu dalam dua serbuan berasingan di Georgetown dan Butterworth semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Pelbagai barangan yang mengandungi cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu bernilai lebih RM4,000 dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang dalam dua serbuan berasingan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu masing-masing dilakukan di sebuah premis runcit di Jalan Sungai Ujong, Georgetown dan sebuah premis borong di Taman Seri Murni, di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kedua-dua premis itu menemukan sejumlah unit pemetik api, pisau cukur dan berus gigi yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu.

“Sehubungan itu, kita menyita sebanyak 2,765 unit pemetik api, 500 unit berus gigi dan 552 unit pisau cukur untuk siasatan lanjut dengan jumlah sitaan dianggarkan RM4,087.50,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang jika sabit kesalahan bagi bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga
tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sementara itu katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM20,000 akan dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan melibatkan pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM15,000 akan dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar iaitu untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM30,000 pula bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, PPDNHEP negeri mengingatkan mana-mana individu yang cuba menjual barangan tiruan yang mana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan.

“Aduan-aduan tersebut boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-3840245, aplikasi Whatsapp (019-279 4317), hadir sendiri ke mana-mana pejabat cawangan (PPDNHEP) di seluruh negara dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya