JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa pelaburan Johor menjunam sejak 2018 ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan adalah tidak benar.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pada 2018, PH telah berjaya merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu sekitar RM30.5 bilion.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri berkata, jumlah pelaburan yang direkodkan di Johor pada tahun itu jauh di hadapan berbanding negeri-negeri lain.
“Pada 2019 pula, berdasarkan kepada angka rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan di Johor termasuk sektor perkhidmatan adalah RM24.4 bilion.
“Maka bagi 2018 dan 2019, jumlah pelaburan yang diterima oleh Johor adalah RM55 bilion berbanding dengan negeri lain seperti Pulau Pinang (RM39.4 bilion), Kuala Lumpur (RM21.8 bilion) dan Selangor (RM66.8 bilion),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor bertitah, negeri itu memerlukan dasar-dasar ekonomi yang menggalakkan perkembangan ekonomi dan pembangunan ketara supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat Johor.
Titah Tunku Ismail Sultan Ibrahim, itu adalah perkara yang perlu dilakukan setelah jumlah pelaburan di negeri berkenaan mula menjunam selepas 2018.
Mengulas lanjut, Jimmy Puah berkata, perbandingan pelaburan sektor pembuatan selepas 2018 menyaksikan kebanyakan pelaburan Gas dan Minyak (O&G) di Pengerang telah berkurangan. – UTUSAN