Pekerja kontrak mengaku bersalah hantar gambar lucah - Utusan Malaysia

Pekerja kontrak mengaku bersalah hantar gambar lucah

MUHAMMAD Hakim Habibullah mengaku bersalah atas 12 pertuduhan memuat naik dan menghantar kandungan bersifat lucah melalui aplikasi Facebook dan Whatsapp di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang pekerja kontrak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 12 tuduhan menghantar kandungan gambar lucah menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook pada tahun 2018 dan 2019.

Tertuduh, Muhammad Hakim Habibullah, 31, didakwa menghantar gambar mengaibkan mangsa yang merupakan seorang wanita antara 21 September 2018 hingga 23 Jun 2019.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar kemudian menetapkan 30 Mac depan bagi meneliti fakta kes, jatuh hukum dan lantikan peguam bantuan oleh tertuduh.

Noorhisham juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar wang jaminan berkenaan dan tertuduh dimasukkan ke dalam lokap untuk tahanan reman sehingga sebutan kes akan datang.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas 12 tuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati menghantar tiga gambar lucah pada 21 September 2018 kepada pengadu selain tujuh gambar lucah kepada pengadu yang sama pada 23 Jun 2019.

Tertuduh juga didapati memuat naik dua hantaran berbentuk kandungan gambar lucah di akaun Facebook miliknya masing-masing pada 6 November dan 13 Disember 2018.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri.

Nazrul Nizam berkata, mengikut fakta kes, tertuduh didapati menghantar kandungan lucah berbentuk gambar bogel seorang wanita kepada pengadu yang juga abang kepada wanita itu.

Menurutnya, pengadu kemudian membuat laporan kepada MCMC pada 18 Julai 2019 sebelum serbuan dibuat ke atas kediaman tertuduh di Alor Setar, Kedah pada 19 September 2019. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN