Pekerja kilang dakwa 8 bulan tak dibayar gaji

Pekerja kilang dakwa 8 bulan tak dibayar gaji

M. KULASEGARAN dalam sidang akhbar di Ipoh, Perak,  hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pekerja sebuah kilang bertaraf antarabangsa di Jelapang di sini, mendakwa tidak dibayar gaji oleh majikan sejak lapan bulan lalu.

Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, pekerja terlibat terdiri daripada  enam orang di bahagian pengeluaran di kilang itu.

Menurutnya, ada antara pekerja itu yang bekerja selama 17 tahun namun masih dibayar gaji minimum iaitu RM1,200 sebulan dan tergolong dalam kategori B40.

Beliau mendakwa, majikan juga tidak mencarum pekerja terlibat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Sistem Insurans Pekerja (SIP) selama dua tahun.

“Kami akan membela nasib enam pekerja ini yang tidak  dibayar gaji ini. Saya akan membantu mereka secara pro bono dari segi undang-undang untuk menyelesaikan kes ini. Kami bimbang syarikat mungkin lari kerana pemiliknya bukan warganegara, jadi kes ini perlu dipercepat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Kulasegaran mempersoal isu pekerja tidak dibayar gaji yang masih berlaku.

Katanya, ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah memperkenal satu aplikasi yang membolehkan Kementerian Sumber Manusia mengetahui tentang gaji yang dibayar oleh majikan.

“Semasa saya menjadi menteri, gaji yang dibayar diketahui oleh pihak kementerian. Apakah sistem ini sudah dilaksanakan? Jika sudah dilaksanakan, mengapa pekerja yang tidak dibayar gaji tidak diketahui oleh kementerian. Apakah kegunaan aplikasi berkenaan jika ia tidak berfungsi?,” katanya. 

Sementara itu, pekerja kilang tersebut, S.Manimekalai, 49, berkata,  apabila mereka bertanya tentang gaji, pihak pengurusan meminta bertanya sendiri kepada pemilik syarikat namun pemiliknya berada di luar negara.

“Pihak pengurusan ada menyuruh supaya kami mencari kerja lain tetapi sudah 17 tahun saya kerja dan mereka masih tidak membayar tunggakan gaji kami.

“Tahun lepas, kami ada melaporkan di Pejabat Tenaga Kerja dan majikan membayar gaji kami selama empat bulan sahaja, selepas itu mula bayar secara tidak konsisten,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya