KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrum Nizam Baharuddin yang dikaitkan dengan `kehilangan’ wang rampasan agensi itu berjumlah AS$6.94 juta dihukum penjara tiga tahun dan sebat dua kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan pilihan salah guna wang rampasan tersebut untuk kegunaan sendiri.
Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 13 September 2021.
Menurut fakta kes, Shahrum Nizam telah menggunakan RM2.7 juta daripada wang rampasan itu untuk membeli beberapa aset dan barangan antaranya rumah dua setengah tingkat di Sepang, dua buah motosikal Ducati, lapan utas jam tangan mewah dan dua bidang tanah di Jerantut, Pahang.
Tertuduh juga telah meminta pertolongan seseorang untuk menyimpan RM1.4 juta yang akan dijadikan modal perniagaan balak.
Pada 4 Januari lalu, Shahrum Nizam didakwa atas tuduhan pecah amanah wang rampasan jumlah sama dan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Shahrum Nizam mengaku bersalah atas tuduhan pilihan salah guna wang rampasan tersebut dan dituduh mengikut Seksyen 403 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan sebat.
Selepas menjatuhkan hukuman tersebut, Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untul lucut hak aset-aset dan barang yang dibeli menggunakan wang rampasan tersebut serta wang tunai AS$4.6 juta dan RM1.6 juta.- UTUSAN