HULU TERENGGANU: Pas yakin calon-calon mereka mampu memenangi beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus menyumbang kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, buat masa ini pihaknya belum dapat menjangkakan secara tepat jumlah kerusi yang berpotensi dimenangi daripada keseluruhan 15 kerusi dipertandingkan pada PRN Johor kali ini.
Katanya, Pas berpuas hati dengan pengagihan kerusi dengan rakan-rakan komponen PN termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan kerana proses itu dibuat berdasarkan perbincangan dan persetujuan bersama.
“Kita akan turun secara habis-habisan sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan sekali gus mentadbir Johor.
“Jentera Pas dari negeri-negeri lain juga akan membantu bukan hanya di kerusi Pas tetapi juga calon Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana PN Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini malam tadi.
Tuan Ibrahim turut mengharapkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRN Melaka. – UTUSAN