PETALING JAYA : Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dengan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hangat ‘ungkit-mengungkit’ dan saling membalas di Twitter berkenaan individu sesuai bertanding sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Pada mulanya, Noor Amin memberitahu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merupakan pemimpin paling layak untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden di dalam usaha memperkukuhkan parti bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kawan-kawan ahli Parlimen ada yang pancing pandangan politik saya. Untuk tiga empat tahun ke hadapan, berdepan situasi masuk PRU-15, Saifuddin Nasution adalah sosok pertengahan yang sesuai untuk imbang pelbagai kelompok. Saya tahu dia keberatan tanding Timbalan Presiden. Tapi itu pandangan saya,” ciapan Twitter beliau.
Walau bagaimanapun, seorang pengguna Twitter kemudian mencadangkan Rafizi merupakan individu paling layak untuk jawatan tersebut.
Noor Amin membalas pandangan itu dan memaklumkan tiada masalah dengan cadangan tersebut namun Rafizi sebaiknya kembali berperanan jumpa anggota parti semula dan beliau akan mengundinya jika bertanding Naib Presiden terlebih dulu.
“Tak ada masalah. Demokrasi. Saya okey . Rafizi memang seorang calon popular. Cuma apabila beliau ambil cuti selepas dilantik, saya fikir elok kembali berperanan jumpa anggota parti semula. Saya akan undi jika dia tanding Naib Presiden dulu,” katanya.
Namun Rafizi membalas Twitter itu dengan memaklumkan, beliau menjemput Noor Amin dan berkempen sehingga menang di kerusi Parlimen Kangar ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun tidak dikenali pengundi.
“Sama macam saudara jarang sangat ada di Kangar sebelum 2018 tetapi saya jemput dan kempen juga sampai menang kerusi Kangar walaupun orang Kangar pun tak kenal. Tak pula saya ungkit macam ini. Pandangan saja. Kempen di Twitter ini mudah,” balas Rafizi.
Perbualan hangat itu kemudian berakhir apabila Noor Amin berkata, beliau tidak mengungkit tetapi sekadar saranan.
“Tidak bersifat menghalang malah beri komitmen untuk sokong jika bertanding Naib Presiden. Alhamdulillah terima kasih kepada saudara, Tun Mahathir (Mohamad) dan lain-lain yang berkempen di Kangar. Semua ada sumbangan. Tak pernah saya nafi dan dakwa semuanya kerja buat saya,” katanya.
Namun balas-membalas mendapat perhatian seorang lagi pemimpin PKR, Chan Ming Kai yang menjelaskan kemenangan PKR di Kangar atas gerak kerja yang bukan semata-mata daripada kempen PRU-14.
“Kemenangan di Kangar bukan semata-mata daripada kempen masa PRU, kerja-kerja dah siap dah sebelum itu. Tak pula aku ungkit mcm ini juga. Pandangan saja. Harap maklum,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu. UTUSAN