KUCHING: Eksport Sarawak ke Australia sepanjang tahun 2020 bernilai RM1.5 bilion, manakala import dari negara berkenaan berjumlah RM1.9 bilion.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, barangan eksport Sarawak ke Australia sebahagian besarnya berupa petroleum mentah, papan lapis dan baja urea.
“Ini bermakna Sarawak mencatatkan jumlah perdagangan RM3.4 bilion dengan Australia tahun lepas,” kata beliau ketika berucap kepada peserta Webinar Padanan Perniagaan 2022: Peluang Perdagangan dan Pelaburan di Sarawak dalam mesej video hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa Sarawak berkata, jumlah nilai import Sarawak dari Australia ialah RM1.9 bilion, terutamanya untuk bijih aluminium dan pekat.
Menurut Awang Tengah, walaupun ketidakstabilan perdagangan disebabkan pandemik Covid-19 tetapi Sarawak terus mencatatkan imbangan dagangan positif sebanyak RM36.1 bilion tahun lepas.
Barangan eksport utama Sarawak ialah gas asli cecair (LNG) pada 37.5 peratus, diikuti minyak sawit (14.3 peratus) dan petroleum mentah dan produk petroleum (9.9 peratus).
Bagi tahun yang sama, Sarawak turut mencatatkan sejumlah RM15.7 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan.
“Setakat ini, kami mempunyai sedikit pelaburan dari Australia. Oleh itu, kami berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan dari Australia dalam masa terdekat.
“Malah, kami sedang giat berunding dengan beberapa pelabur serius dari Australia Barat untuk melabur di Sarawak,” tambahnya.
Beliau juga mengambil maklum bahawa Australia sangat kukuh dalam sektor pertanian.
Justeru, beliau berharap Sarawak dapat bekerjasama dengan negara berkenaan untuk membangunkan aktiviti komersial yang dipacu teknologi untuk pasaran antarabangsa bagi hasil segar dan produk diproses di negeri ini.
Turut menyertai dalam talian berkenaan, ialah Timbalan Perdana Menteri Australia Barat, Roger Cook. UTUSAN