KUCHING: Bangunan baharu Muzium Sarawak, yang diberi nama baharunya Borneo Culture Museum akan dirasmikan oleh Yang Dipertuan Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac ini.
Acara perasmiannya akan dilangsungkan di sebelah luar bangunan dan dimulakan dengan ucapan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan diikuti ucapan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, seterusnya perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Seleaps itu, akan dilangsungkan pertunjukan pemetaan projek yang akan melancarkan pemetaan itu ke arah bangunan muzium untuk memaparkan sejarah Sarawak.
Menurut Abdul Karim, bangunan tersebut memulakan pembinaan pada 2014, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 perancangan awal telah sedikit sebanyak tergendala termasuk pemindahan bahan-bahan pamer ke bangunan tersebut.
Bangunan muzium lima tingkat itu merupakan muzium yang terbesar terdapat di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.
Abdul Karim berkata, selain mempamerkan sejarah Sarawak dan Borneo dari pra sejarah hingga tahun 1970-an, ia juga memamerkan bahan-bahan pra sejarah dan maklumat mengenai suku-suku kaum yang terdaat di negeri Sarawak.
“Di tingkat dua bangunan ini juga ada satu ruang pameran yang mempunyai tema Cintai Sungai Kita, yang direka khas untuk galeri kanak-kanak.
“Muzium ini berlainan daripada muzium lama kerana barang-barang yang dipamerkan termasuk lampu-lampu yang boleh mengikut jejak kaki kita dan sebagainya.
“Ini amat menarik dan pastinya keluarga dan kanak-kanak akan sukakannya,” kata Abdul Karim dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, museum lama mempamerkan sejarah semula jadi berkenaan dengan bahan purba manakala Borneo Culture Museum mempamerkan bahan-bahan budaya etnik yang terdapat di negeri Sarawak.
Abdul Karim berkata, bangunan muzium baharu itu akan dibuka kepada umum mulai 9 Mac, dan menjangka ramai rakyat tempatan akan mengunjunginya.
Menurut Abdul Karim, hanya 500 orang pelawat sahaja akan dibenarkan dalam satu-satu masa dan oleh sebab itu mereka yang berhasrat untuk datang berkunjung supaya mendaftar dalam talian,” kataya.
Untuk tempoh tiga bulan pertama pelawat tidak akan dikenakan sebarang bayaran, dan selepas itu kita akan mendapatkan kelulusan Kabinet mengenai kadar bayaran yang patut dikenakan atau memanjangkan tempoh masuk secara percuma. – UTUSAN