JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bakal bertembung dengan ‘rakan sekutu’ mereka iaitu PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila memutuskan meletak calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan calon mereka iaitu Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan Muda Johor pada sesi pengumuman calon DUN Machap dan Parit Raja.
“Kita sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan, kita juga hormat PKR kerana telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka. Kita tidak umum awal kerana menghormati proses rundingan tersebut dan masih cuba guna saluran lain untuk pastikan tidak ada pertindihan kerusi.
“Jika ada sekalipun kita sudah cuba mengurangkan pertindihan kerusi semaksimum mungkin, dan apabila berlaku (pertindihan), kita akan serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak PKR sama ada kemungkinan akan berlaku sabotaj, tetapi sebaliknya kita akan fokus kepada permasalahan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan nama calon mereka di Larkin iaitu Dr. Zamil Najwah Arbain selepas rundingan bersama Muda gagal mencapai kata sepakat.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan akan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru di kerusi Larkin yang disandang bekas Exco daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.
Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah sebagai muka baharu di kerusi tersebut pada pilihan raya berkenaan.
Selain DUN Larkin, Syed Saddiq turut mengumumkan calon bagi DUN Machap yang akan diwakili R. Sangaran yang merupakan Timbalan Pengerusi Muda Johor dan DUN Parit Raja diwakili Setiausaha Jawatankuasa Muda Johor, Fikri Musa.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar masih berteka-teki berhubung sama ada beliau bakal bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
“Buat masa ini, hanya tujuh kerusi yang akan ditandingi Muda dalam PRN Johor dan kita mahu menampilkan calon-calon Muda lain yang jauh lebih baik dan layak daripada saya. Sekali lagi saya tegaskan Muda bukan Syed Saddiq sebaliknya suara anak muda tempatan yang mempunyai hati untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN