PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas.
Menurut Mohd. Khairuddin, beliau mengumumkan perletakan jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura Pas dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti di bawah Fasal 8(7).
Katanya, beliau dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang diadakan secara hibrid pada pukul 9 malam semalam atas kapasiti sebagai ahli dan setiausaha.
“Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(7).
“Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(5),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan perhargaan kepada Pas yang memberi peluang berkhidmat sebagai AAhli Majlis Syura Ulama sejak 2013 seterusnya dilantik sebagai Setiausaha sejak 15 Disember 2020.
“Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan semua ahli yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan Pas untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti,” jelasnya.
Mohd. Khairuddin berkata, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Pas dan tugasan lain dalam parti. – UTUSAN