Mohd Kamal Hassan Pengerusi, Wan Mohamad Timbalan Pengerusi IKIM

Mohd. Kamal Hassan, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi IKIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan dilantik sebagai Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baharu berkuat kuasa hari ini.

MOHD KAMAL HASSAN

Pelantikan beliau dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut melantik Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi institut berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata,  Mohd. Kamal merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Dilahirkan pada tahun 1942 di Pasir Mas, Kelantan, Idris berkata, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965 dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975. 

“Keilmuan serta ketokohan beliau diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa. Beliau pernah diamanahkan sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 sehingga 2006.

“Beliau turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Kamal dinobatkan Profesor Ulung di atas sumbangan bakti dalam dunia akademik.

Sementara itu, Idris berkata, Wan Mohamad pula mempunyai kepakaran dalam pengurusan hal ehwal Islam termasuk bidang dakwah, penyelidikan serta pembangunan Islam. 

Katanya, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2007 hingga 2011.

“Selain itu beliau turut diberikan kepercayaan sebagai Timbalan Presiden, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia serta Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM).

“Dilahirkan pada tahun 1953 di Kaherah, Mesi, beliau berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1978 dan turut memiliki Diploma Sains Pengurusan, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) pada tahun 1989,” katanya. 

Sambil mengucapkan tahniah di atas pelantikan itu, Idris berkata, kerajaan amat yakin dengan gabungan kewibawaan kedua-dua tokoh itu untuk menerajui kecemerlangan IKIM sesuai dengan visi dan misi penubuhan organisasi itu.

“Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya