KUALA LUMPUR : Merupakan sebuah hasrat yang sudah lama dipendam, enam anggota kumpulan Floor 88 tidak menyangka ada pihak yang sudi menaja mereka ke Tanah Suci Mekah bagi melakukan ibadah umrah.
Menurut vokalis Floor 88, Ayie Elham, 24, dia dan lima sahabatnya yang lain terkejut dan bersyukur kerana Hotel Grand Barakah yang juga mempunyai sebuah agensi umrah, sudi menunaikan impian mereka itu.
“Ini kali pertama kami dapat tawaran untuk pergi menunaikan umrah. Ketika itu memang menggigil juga. Bukan menggigil sebab tak bersedia. Tapi sebab terkejut bila ada pihak nak taja kami untuk tunai umrah.
“Kaki sebenarnya memang dah lama ada niat nak tunai umrah tapi tak pernah dapat rezeki nak pergi. Bila kenal dengan pihak penganjur yang nak bekerjasama untuk konsert, mereka juga nak taja pergi umrah.
“Bila semua urusan selesai, kami terus ‘lock’ jadual. Kami juga akui terpaksa tolak banyak job untuk pergi sana,” katanya.
Ayie dan anggota kumpulan Floor 88 ditemui ketika sidang media Konsert Eighty8 Infinity di Grand Barakah Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
Kumpulan yang terkenal menerusi lagu Hutang itu akan menunaikan umrah selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 18 hingga 26 Mei depan.
Berkongsi mengenai konsert sulung mereka, Achoi atau Zai Hamzah meluahkan rasa teruja apabila perancangan mereka sejak dua tahun lalu itu akhirnya akan terlaksana.
“Alhamdulillah, hasrat kami nak buat konsert pun akhirnya tercapai. Ikutkan perancangan nak buat konsert dua tahun lalu tapi disebabkan pandemik Covid-19 terpaksa tangguh dahulu.
“Jadi bila ada peluang ni, kami teruskan untuk perancangan walaupun dalam masa yang singkat. Soal persediaan tu, Alhamdulillah kami memang sudah bersedia sebab memang selalu buat latihan.
“Kami buat konsert pun demi peminat yang dah banyak kali tanya bila nak buat konsert. Jadi, ni sebagai penghargaan untuk peminat juga,” ujarnya.
Konsert yang akan turut dimeriahkan dengan persembahan Apak Khalifah dan kumpulan Caramelt Band itu akan diadakan di Grand Barakah Hotel, Kuala Lumpur pada 26 Mac depan.