KOTA KINABALU: Seorang mekanik maut akibat dihempap dump hidraulik lori 10 tan yang sedang dibaikinya di kawasan tanah lapang, Jalan Bundusan, Penampang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.23 pagi itu, mangsa, Suhilin Amat @Ahmad,58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.21 petang.
Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa tersepit di bawah sebuah dump hidraulik lori yang disyaki rosak.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 2 untuk tujuan ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai mekanik dihempap dump hidraulik lori 10 tan pada pukul 10.23 pagi. – UTUSAN