KEMAMAN: Bukan satu atau dua tong gas, sebaliknya wanita besi dari Kampung Binjai di sini, mampu mengendalikan lebih empat tong berkenaan bagi dihantar kepada pelanggan di sekitar Chukai.
Malah, Nur Khairunnisa Abdullah, 30, tidak kekok memikul dua tong gas seberat 32 kilogram sekali gus walaupun terpaksa memanjat tangga rumah pangsa, sepanjang tiga tahun bergelar penjual gas.
Katanya, sejak remaja dia sudah biasa melakukan kerja-kerja berat yang didominasi lelaki tanpa bantuan orang lain termasuk memandu lori dan trak forklift kerana ibu angkatnya menjalankan perniagaan tong gas.
“Saya bekerja dengan ibu selepas kematian suami, Muhd. Khairul Azizul Seong dan pada awalnya saya cuma memandu trak forklift bagi mengangkat tong-tong dari lori treler tetapi sejak tahun lepas saya turut menghantar barangan itu ke rumah pelanggan dan premis kerana kekurangan pekerja.
“Mula-mula memang malu apabila orang ramai tengok saya memandu lori dan memikul tong gas tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang. Malah saya tidak kisah memikul tong itu ke kediaman bertingkat terutama jika pelanggan adalah warga emas atau kaum hawa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, sebuah video yang dikongsi Nur Khairunnisa dalam akaun TikTok miliknya mengenai rutin menghantar gas kepada pelanggan tular hingga ramai netizen kagum dengan kebolehannya melakukan kerjaya lasak.
Nur Khairunnisa berkata, setiap hari antara 60 hingga 100 tong gas dihantar kepada pelanggan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Kata ibu tunggal dua anak berusia enam dan sembilan tahun itu, sebelum kematian suaminya, dia pernah bekerja sebagai tukang rumah dan terlibat dalam pemasangan jubin lantai.
“Saya sentiasa kuat untuk anak-anak, rutin kerja saya bermula selepas menghantar mereka ke sekolah manakala pada waktu malam pula mereka ke kelas mengaji di samping menemani mengulang kaji pelajaran.
“Saya tidak mahu anak-anak rasa kekurangan kerana ketiadaan bapa, malah saya masih menjaga ibu mentua, Liew Siah Hua, 74, yang tinggal bersama walaupun dia tidak memeluk Islam,” katanya. -UTUSAN