Masalah bekalan air sejak 37 tahun lalu berakhir - Utusan Malaysia

Masalah bekalan air sejak 37 tahun lalu berakhir

AZAMI Mohd. Nor (dua dari kanan) turun padang melawat tapak PKBA di Kampung Jerek, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 120 keluarga di Kampung Jerek, di sini lega kerana gangguan bekalan air yang menghantui mereka sejak 37 tahun lalu berakhir dengan pelaksanaan Projek Komuniti Bekalan Air (PKBA).

PKBA merupakan projek di bawah Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) dan membabitkan pembinaan telaga tiub di kawasan itu bagi menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Abdul Hadi Sibaweh, 61, berkata, sudah hampir empat dekad lamanya penduduk di situ berdepan masalah air kritikal setiap hari iaitu sama ada terputus bekalan air atau bekalan air yang amat terhad.

Sebagai alternatif katanya, mereka terpaksa mencari sumber air sendiri termasuk berulang-alik mengangkut air dari sungai berhampiran ke rumah atau menggunakan tadahan air tandak yang keruh.

“Kami mandi dan membasuh pakaian menggunakan air sungai atau air tandak yang keruh sejak 1985 lagi.

“Alhamdulillah, masalah ini berakhir apabila Kerajaan Negeri Kelantan menerusi JSANK membina telaga tiub di kampung kami,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan PKBA di Kampung Jerek di sini semalam.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad meninjau tapak projek berkenaan.

Sementara itu, Azami berkata, sebanyak RM4.6 juta diperuntukkan untuk projek menaik taraf infrastruktur bekalan air di seluruh negeri pada tahun lalu manakala tahun ini, jumlahnya meningkat kepada RM6.9 juta.

Kata beliau, antara kawasan penempatan yang menerima manfaat pelaksanaan PKBA ialah dua lokasi di Gua Musang, empat lokasi di Tanah Merah, dua lokasi di Machang serta satu lokasi di Bachok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya