Maritim Malaysia puji tindakan tekong bot karam selamatkan pemancing

Maritim Malaysia puji tindakan tekong bot karam selamatkan pemancing

MOHD. ZAWAWI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memuji tindakan tekong bot yang memastikan semua 17 pemancing dan kru bersamanya tidak terpisah selepas bot dinaiki mereka karam dihempas ombak setinggi lima meter(m) semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, tekong tersebut, Baseri Aziz, 55, bertindak memastikan keselamatan semua pemancing semasa terapung selama tujuh hingga lapan jam di laut.

“Tekong tersebut sentiasa memastikan semua pemancing berada dalam jarak yang selamat dan melakukan ikatan antara pemancing-pemancing tersebut bagi mengelakkan ada yang hanyut, atau terpisah daripada kumpulan pemancing.

“Kesemua 18 orang  itu memakai jaket keselamatan yang berfungsi dengan baik untuk memastikan pemancing tersebut terapung di dalam air sepanjang tempoh sebelum diselamatkan oleh bot nelayan tempatan,” katanya kepada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat  Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, di Bukit Malut  di sini hari ini.

Zawawi menambah, kejadian tersebut juga berlaku tidak jauh dari Pulau Singa Besar iaitu kira-kira 17 kilometer (km) dan kawasan tersebut masih mempunyai liputan talian telefon yang memudahkan tekong untuk menghubungi pihak berkuasa bagi menyelamatkan mereka.

Dalam pada itu,  Zawawi memberitahu, seorang pemancing masih dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini kerana tangan kirinya luka dan dijahit oleh doktor.

Tambahnya, seorang lagi pemancing yang mengalami kekejangan kaki dan pemancing lain telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Utusan Online hari ini melaporkan seramai 14 pemancing dan empat kru berhadapan detik cemas apabila terapung selama hampir tujuh jam di laut selepas bot yang dinaiki mereka karam di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah di pulau ini semalam.

Mereka kemudiannya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan pada pukul 7.30 petang sebelum dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dengan aset milik Maritim Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya