MAIWP agih zakat hampir RM46 juta Januari lalu - Utusan Malaysia

MAIWP agih zakat hampir RM46 juta Januari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan zakat RM45,986,012.67 sepanjang bulan lalu untuk asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya, agensi tersebut memaklumkan bahawa jumlah pengagihan yang belum diaudit itu berjaya disalurkan melalui pelbagai skim bantuan.

“Terima kasih semua pembayar zakat di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP. Segala amanah anda sudah MAIWP tunaikan,” katanya ringkas.

Berdasarkan pecahan, sebahagian besar zakat diagihkan menerusi beberapa skim bantuan yang berjumlah RM38,996,094.01, manakala bahagian amil pula menerima RM6,313,681.

Sementara agihan zakat melalui institusi pendidikan dan kebajikan menerima sebanyak RM561,879.21 dan baki RM114,358.45 untuk belanja penyelenggaraan prasarana tertentu.

Sepanjang tahun lepas, PPZ MAIWP berjaya mengutip pelbagai jenis zakat berjumlah RM828 juta, bertambah sembilan peratus berbanding RM761 juta direkodkan pada tahun 2020 lalu.

MAIWP mempunyai  30 jenis skim bantuan Baitulmal dengan sepanjang tahun lepas, sejumlah RM725,144,762 diagihkan berbanding tahun sebelumnya hanya RM707,968,418.

Untuk tahun ini pula, PPZ MAIWP menyasarkan kutipan keseluruhan pelbagai zakat sebanyak RM852 juta daripada kira-kira 410,000 pembayar meliputi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Tahun lalu terdapat sejumlah 216,525 individu yang disenaraikan sebagai asnaf layak menerima agihan bantuan zakat di seluruh wilayah itu, berbanding cuma 201,779 orang pada 2020.

Jika ada maklumat asnaf tercicir menerima agihan, boleh dihubungi Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP menerusi akaun Facebook, laman sesawang rasmi atau talian 1-800-88-5222.

PPZ ditubuhkan pada 1991 lalu, merupakan agensi zakat pertama dikorporatkan di Malaysia dengan menawarkan pelbagai kaedah pembayaran sama ada atas talian atau kaunter.- UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya