Mahkamah batal pengharaman buku 'Gay is Okay'

Mahkamah batal pengharaman buku ‘Gay is Okay’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku bertajuk ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ dua tahun lalu adalah satu tindakan tidak masuk akal.

Ini kerana buku tersebut telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku tersebut.

Itu merupakan alasan ringkas yang diberikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku tersebut, Ngeo Boon Lin dan penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin selaku pemohon.

Hadir pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah peguam-peguam, Edmund Bon dan Micheal Chia mewakili pemohon manakala Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai  responden pertama dan kedua diwakili Peguam Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md. Ali.

Ton Sin dan Boon Lin memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 17 Februari 2021 dengan menamakan Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden bagi membatalkan perintah larangan bertarikh 27 November 2020.

Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku “Gay is OK! A Christian Perspective” di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuatkuasa 27 November 2020.

Hakim Noorin dalam penghakimannya menyatakan mahkamah tidak mendapati tiada sebarang bukti atau asas yang menjustifikasikan tindakan Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku berkenaan.

“Beliau (Menteri Dalam Negeri) perlu dalam fikirannya bahawa buku yang dipertikaikan adalah berkaitan dengan persoalan yang timbul berhubung homoseksualiti dari pandangan agama Kristian.

“Selepas membaca buku tersebut dan menilainya dari sudut objektif, mahkamah ini berpandangan selain daripada kompilasi artikel yang diterbitkan semula dalam portal Malaysiakini di antara 2010 hingga 2011, buku tersebut mengandungi pandangan penulis sebagai seorang penganut Kristian.

“Benar atau tidak, merujuk kepada pandangan penulis, buku tersebut sepatutnya dihadkan kepada agama itu sahaja walaupun terdapat beberapa pandangan, penilaian dan tanggapan penulis yang subjektif,”kata hakim tersebut.

Mahkamah turut menyatakan, elemen yang subjektif itu tidak boleh dijadikan asas dalam mengharamkan buku berkenaan.

“Selepas tujuh tahun penerbitannya, responden gagal menunjukkan bukti telah berlakunya gangguan terhadap ketenteraman awam. Apabila tiada bukti ditunjukkan maka buku berkenaan tidak boleh dikatakan mengganggu ketenteraman awam,” ujar Hakim Noorin.

Tambahnya, hak seseorang untuk memberikan pendapat adalah sebahagian daripada hak bersuara seseorang individu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Hakim Noorin memberitahu mana-mana individu yang terlibat dengan mana-mana perintah pengharaman perlu diberikan keadilan dalam proses kehakiman dan peluang yang mencukupi untuknya membela dirinya.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, buku tersebut telah berada dalam pasaran untuk satu tempoh yang lama dan Menteri mempunyai tanggungjawab untuk memberikan alasan berhubung keputusan yang dibuat lebih-lebih lagi apabila keputusan itu membabitkan hak untuk bersuara seseorang individu dan apabila prinsip keadilan dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujar hakim itu.

Sehubungan itu, Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman pemohon dengan kos RM5,000.

Menurut afidavit yang difailkan, kedua-dua pemohon mendakwa adalah sesuatu yang tidak rasional kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini yang dicetuskan oleh buku itu sejak diterbitkan lebih tujuh tahun lalu.

Tambah afidavit berkenaan, responden pertama (Menteri Dalam Negeri) juga gagal sebarang alasan mengenai bagaimana buku tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin memudaratkan kemoralan awam dan mungkin memudaratkan kepentingan awam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya