Lima binaan warisan di Negeri Sembilan dibaik pulih - Utusan Malaysia

Lima binaan warisan di Negeri Sembilan dibaik pulih

NORLIDA Idris (kiri) dan ibunya, Khadijah Hasan, 86, di rumah keluarga mereka yang terletak di Kampung Perigi Jernih, Senaling, Kuala Pilah yang siap diperbaiki menerusi inisiatif pemuliharaan bangunan dan rumah warisan yang dijalankan oleh kerajaan Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak tiga buah rumah dan dua buah masjid telah siap dibaik pulih menerusi inisiatif yang diambil kerajaan Negeri Sembilan bagi tujuan pemuliharaan bangunan dan rumah warisan di negeri ini.

Menerusi inisiatif yang telah bermula pada tahun lalu itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan termasuk yang terbaharu sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2022.

Penasihat Pusat Teknologi Seni Bina, Politeknik Port Dickson, Dr. Isham Shah Hassan memaklumkan, selepas kerajaan negeri mewujudkan inisiatif berkenaan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi mereka bersama menjaga bangunan warisan juga semakin terserlah.

Beliau yang turut terlibat secara langsung dalam pelaksanaan inisiatif tersebut menjelaskan, tambahan sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2022 selepas sebanyak RM2 juta disediakan sebelum itu juga tepat pada masanya ketika kos baik pulih termasuk bahan binaan semakin meningkat.

“Tentunya tambahan peruntukan tersebut sangat baik dan perlu kerana kos bahan binaan juga semakin meningkat. Kerja pemuliharaan memerlukan kepakaran tertentu dalam menjamin kualiti reka bentuk dan supaya struktur binaan terpelihara.

“Projek ini sudah menjadi pemangkin kepada masyarakat Negeri Sembilan untuk bersama memelihara warisan negeri. Sudah tentu ia turut membantu meningkatkan produk pelancongan Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tahun lalu, akhbar ini melaporkan Negeri Sembilan bakal hilang simbol keunikan Adat Perpatih jika beratus-ratus rumah tradisional yang tidak lagi berpenghuni terus dibiarkan usang tanpa diambil sebarang tindakan sewajarnya terutama dalam kalangan pewaris.

Rumah tersebut mempunyai reka bentuk dan ukiran seni bina yang unik namun kini dalam keadaan menyedihkan malah ada menunggu masa untuk menyembah bumi.

Hasil kajian dan data yang diperoleh oleh Politeknik Port Dickson terdapat kira-kira 250 buah rumah, bangunan dan masjid lama di negeri ini dan hampir 40 peratus daripadanya terbiar.

Sementara itu, kelima-lima binaan yang telah dibaik pulih itu adalah Rumah Warisan Puan Norami (Rembau), Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang (Kuala Pilah), Rumah Warisan Puan Norlida (Kuala Pilah), Rumah Warisan Puan Jalilah (Jelebu) dan Masjid Warisan Kampung Terusan (Kuala Pilah).

Menurut Norlida Idris, 59, rumah keluarganya yang terletak di Kampung Perigi Jernih, Senaling, Kuala Pilah antara yang terlibat dalam projek pemuliharaan tersebut dan telah disiapkan tahun lalu.

“Memang rumah ini merupakan rumah warisan temurun keluarga dan berusia lebih 100 tahun. Sebelum memohon untuk terlibat dalam projek ini, memang ada syarat dan ciri ditetapkan yang mesti dipenuhi.

“Alhamdulillah, rumah yang selalu menjadi tempat berkumpul ahli keluarga dapat dibantu untuk terus dipulihara dan kini turut menjadi tumpuan orang ramai dan pelajar yang berminat untuk mengetahui seni bina rumah-rumah Melayu lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN