MUAR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah tembok bangunan hiasan mural di Jalan Ali, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.16 tengah malam itu, mangsa, Tan Teng Huei, 58, disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, mangsa dipercayai tersepit di dalam kereta terbabit akibat pelanggaran yang berlaku.
“Kenderaan Perodua Myvi dipandu mangsa merempuh sebuah bangunan di tepi jalan dan menyebabkan mangsa tersepit di tempat pemandu.
“Pasukan bomba terdiri daripada 10 anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 12.27 tengah malam. – UTUSAN