Lelaki didakwa sebabkan kecederaan parah guna parang - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa sebabkan kecederaan parah guna parang

V. LINGKSWARAN didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada dua individu menggunakan sebilah parang minggu lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada dua individu menggunakan sebilah parang, minggu lalu.

Tertuduh, V. Lingkswaran, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap P. Navaneshwaran, 24, dan N. Laxmi, 29, dengan menggunakan sebilah parang iaitu senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Dia yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Sekolah, Guntong di sini pada pukul 11 malam, 19 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh setelah mengambil kira rumah lelaki terbabit dan mangsa-mangsa yang terlibat adalah berhampiran.

Malah pihak pendakwaan berkata, kes itu merupakan kesalahan berat yang melibatkan kecederaan parah kepada mangsa dengan menggunakan senjata.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan RM10,000 dengan seorang penjamin dan mohon syarat tambahan dikenakan ke atas tertuduh,” jelas Afiqa Liyana.

Dayang Nor Emilia bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan jumlah paling minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai selain melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Media pada 20 Februari lalu melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga membabitkan isu percintaan dipercayai menjadi punca pergaduhan hingga membawa kepada kejadian kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kekecohan berlaku pukul 12.20 tengah malam itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang datang ke hospital untuk menghantar rakan-rakan mereka yang cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN