Lebih 500,000 penganggur sudah dapat kerja - Perkeso

Lebih 500,000 penganggur sudah dapat kerja – Perkeso

AZIRRUAN Arifin (kiri) bersama Mohd. Syahbuddin Hashim (dua dari kiri) melawat Pusat Satelit MyFutureJobs di Pusat Khidmat ADUN Galas di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dianggarkan seramai 519,000 daripada 1.5 juta pencari kerja di seluruh negara berjaya mendapat pekerjaan dengan bantuan MyFutureJobs yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sepanjang tahun lalu.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Azirruan Arifin berkata, pada tahun ini pula, seramai 300,000 individu dijangka mendapat pekerjaan menerusi insentif penggajian jamin kerja melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion oleh kerajaan. 

Katanya, dengan inisiatif digerakkan Kementerian Sumber Manusia ini, isu pengangguran dalam kalangan rakyat Keluarga Malaysia dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

“Insentif penggajian jamin kerja ini adalah kesinambungan program tahun lepas yang berjaya menyediakan kerja kepada lebih 2,021,966 individu yang dilaporkan menganggur pada tahun 2021.

“Antara golongan sasar ialah individu yang kehilangan pekerjaan, individu yang menganggur, golongan mudah terjejas termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, veteran askar, Orang Asli, graduan menganggur serta kaum wanita,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Satelit MyFutureJobs iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Bandar Utama, di sini hari ini.

Hadir sama, ADUN Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob dan Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Roslina Bun.

Tambah Azirruan, sebanyak 61 Pusat Satelit MyFutureJobs akan diwujudkan di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Pusat Satelit MYFutureJobs ini merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan seperti profiling, kaunseling kerjaya dan aktiviti kebolehpekerjaan pasaran buruh tempatan.

“Pencari kerja tempatan boleh memanfaatkan kemudahan  ini bagi mengakses peluang pekerjaan di seluruh negara, sekali gus mencapai hasrat kerajaan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan pada 2022 menerusi program jamin kerja di bawah Bajet 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya