KTMB tawar tren percuma DMU Gemas-Kuala Lipis 3 hari - Utusan Malaysia

KTMB tawar tren percuma DMU Gemas-Kuala Lipis 3 hari

TANGKAP layar KTMB menawarkan promosi tiket percuma perjalanan DMU antara Gemas-Kuala Lipis selama tiga hari sempena pelancaran rasmi pada 24 Februari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menawarkan perkhidmatan tren percuma Diesel Multiple Unit (DMU) laluan Gemas, Negeri Sembilan ke Kuala Lipis, Pahang.

Promosi selama tiga hari bermula 21 Februari ini bersempena pelancaran sulung operasi laluan baharu dalam fasa kedua DMU berkenaan yang dijadualkan 24 Februari ini.

Menerusi hantaran akaun sosial rasmi KTMB, operator rel kebangsaan itu memaklumkan, pengguna boleh mendapatkan tiket percuma tersebut dari kaunter tiket stesen sahaja.

“Rebutlah peluang ini untuk merasai sendiri pengalaman menaiki tren DMU tanpa dikenakan bayaran dengan hanya menggunakan kod promo JOYRIDEDMU,” jelas hantaran berkenaan.

Pengguna turut diberikan pilihan untuk perjalanan sehala atau dua hala antara kedua-dua stesen tersebut, namun ia masih terhad kepada pelanggan yang terawal bagi semua koc yang difahamkan sebagai prosedur operasi standard bagi pematuhan pengawalan Covid-19 selain demi memastikan penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan itu.

KTMB bagaimanapun sudah membuka tempahan jualan tiket DMU untuk laluan berkenaan sejak semalam bagi kesemua trip tren tersebut yang akan bermula pada 24 Februari.

Operasi DMU mula dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada 11 April 2021 dengan beliau menaiki tren itu dari Wakaf Bharu ke Tumpat di Kelantan.

Ia bakal mengambil alih perkhidmatan sedia ada, KTM Antara Bandar laluan Pantai Timur secara berperingkat dengan fasa pertama meliputi stesen Tumpat-Gua Musang-Kuala Lipis.

Selepas fasa kedua ini, DMU yang menggunakan tren Kelas 61 buatan China, dilanjutkan lagi untuk fasa terakhir melibatkan laluan antara stesen Gua Musang dan Mentakab di Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya