PETALING JAYA : Kementerian Pendidikan wajar memberi fokus kepada keberkesanan pelaksanaan sebarang elemen pendidikan untuk dimulakan pada sesi persekolahan murid dan pelajar.
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kajian-kajian pendidikan menunjukkan memang wujud ketidak berkesanan berkaitan pelaksanaan elemen nilai dan kesejahteraan di dalam sistem pendidikan negara ini.
“Isu silibus yang berat dan padat serta pembelajaran yang terlalu berpusat peperiksaan antara faktor utama yang menyebabkan usaha membina kesejahteraan murid-murid terpinggir.
“Sepatutnya Menteri Pendidikan mengambil peluang sesi pelancaran ‘Sekolahku Sejahtera’ pagi tadi membentangkan ‘Pelan Tindakan Kesejahteraan Murid’ untuk dilaksanakan di semua sekolah secara lebih teratur dan mapan. Itu lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini melancarkan Konsep Sekolahku Sejahtera yang bermatlamat melahirkan generasi muda hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia.
Beliau berkata, ia boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang diberikan penekanan dalam konsep Sekolahku Sejahtera.
Dalam pada itu, Anuar memberitahu, sebagai pemerhati sistem pendidikan negara, dia mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan itu.
Namun, katanya, tiada yang baharu setelah satu jam menekuni satu persatu apa itu 14 elemen Sejahtera.
“Sebenarnya semua 14 elemen Sejahtera tersebut memang telah sedia ada di dalam kurikulum pendidikan Islam, pendidikan Moral, Bahasa Melayu, Pendidikan Sains, Pendidikan Matematik, pendidikan kesihatan dan jasmani, dokumen sisipan nilai murni dan juga di dalam dokumen Peraturan Tatatertib Sekolah.
“Contohnya, ‘Sihat’ memang ada dalam pendidikan kesihatan dan jasmani. ‘Artikulasi’ memang ada dalam mata pelajaran bahasa. ‘Eksplorisasi’ dan ‘Rasional atau logik’ memang ada di dalam pendidikan Sains dan Matematik.
“Ringkasnya 14 elemen Sejahtera yang dilancarkan pagi tadi sebenarnya memang telah sedia ada dalam amalan pendidikan anak-anak kita,” katanya. – UTUSAN