KPDNHEP rampas 4,800 liter diesel subsidi - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 4,800 liter diesel subsidi

MINYAK diesel subsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor simpanan minyak di Tambun, Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mematahkan cubaan menyeleweng 4,800 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor simpanan minyak di Tambun, pagi tadi.

Serbuan pada pukul 7.30 pagi itu menemukan bahan bakar tersebut yang disimpan di dalam tiga tong drum dan tangki sebuah lori.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan seorang lelaki berusia 58 tahun disyaki penjaga premis.

Katanya, pemantauan dan risikan selama lebih dua minggu dijalankan Unit Risikan KPDNHEP Perak sebelum pihaknya menyerbu stor simpanan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga tong dram berisi minyak diesel yang dianggarkan seberat 600 liter dan diletakkan di dalam premis berkenaan.

“Turut ditemukan di lokasi sama ialah sebuah lori tangki mengandungi 4,200 liter minyak diesel dan peralatan untuk memindahkan minyak,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket itu dengan membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar Ipoh sebelum menyimpannya di stor berkenaan.

Katanya, satu arahan untuk mengemukakan dokumen dan pengisytiharan stok barang kawalan berjadual telah dikeluarkan di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada lelaki berkenaan.

“Kita telah menyita 4,800 liter minyak diesel, tong dram, beberapa dokumen dan sebuah lori tangki dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,320. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya