BENTONG: Koperasi Kariah Masjid dan surau disarankan mengubah strategi perniagaan dengan menumpukan sektor pengeluaran dan perniagaan barangan halal berskala besar yang kompetitif untuk jaminan kemudahan pengguna khususnya orang Islam.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini, sebanyak 511 buah masjid dan surau telah menubuhkan koperasi daripada sejumlah 6,300 (masjid) dan 13,000 (surau) seluruh negara.
“Jumlah keseluruhan koperasi kariah masjid yang bernaung di bawah Angkasa cuma menyumbangkan kadar masih kecil, iaitu sebanyak satu peratus sahaja ekonomi berasaskan produk dan pemasaran barangan halal kepada sejumlah hampir 25 juta populasi rakyat di negara ini yang beragama Islam. Kita menyasarkan sebanyak 10,000 koperasi kariah masjid dan surau ditubuhkan dalam tempoh beberapa tahun ini untuk melebarkan perniagaan barangan halal selain membantu penduduk memperoleh barang makanan yang lebih murah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Projek Barang Asas 100 (BA100) Koperasi Kariah Masjid Tengku Sulaiman, Ketari di sini hari ini.
Menurut Abdul Fattah, perkara ini tidak mustahil apabila koperasi kariah masjid dan surau perlu mengamalkan konsep ‘jamaah’, iaitu berkolaborasi dengan semua koperasi dan peruncit Bumiputera di tempat masing-masing untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran barangan halal.
“Koperasi kariah masjid bukan sahaja menumpukan perniagaan dengan menyewa kios atau gerai di kawasan masjid, tetapi dengan modal yang ada wajar merebut peluang perniagaan di luar (masjid) seperti menyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta di lokasi yang sesuai melibatkan kerjasama (jamaah) dengan pengusaha Bumiputera. Dengan cara ini, koperasi kariah masjid dan peruncit dalam kalangan Bumiputera mampu berdaya saing hasil saling bantu-membantu untuk pengeluaran dan pemasaran barangan halal kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) menyarankan koperasi kariah masjid meluaskan ruang lingkup perniagaan dengan melibatkan sektor peruncitan barangan halal dan pertanian untuk menangani kekurangan bahan makanan utama seperti ayam, telur dan barang tertentu selain mengurangkan tekanan kenaikan harga yang dimanipulasikan pemborong atau kartel.
Justeru katanya, koperasi kariah masjid dengan kerjasama kalangan peruncit dan pengusaha Bumiputera boleh menjadi pengeluar, pemborong dan pemasar barangan halal termasuk produk berasaskan pertanian.
“Saya difahamkan cuma 15 buah koperasi di bawah Angkasa yang aktif dalam bidang ternakan, tetapi pengeluaran masing-masing masih tidak mampu menampung jumlah permintaan barang makanan halal yang meningkat. Saranan koperasi di bawah Angkasa supaya terbabit secara proaktif dalam sektor pengeluaran hasil pertanian dan pemasaran yang berskala besar juga antara yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” jelasnya. – UTUSAN