Kes rasuah Rosmah ditutup selepas 25 saksi beri keterangan - Utusan Malaysia

Kes rasuah Rosmah ditutup selepas 25 saksi beri keterangan

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor melibatkan pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak, ditutup hari ini selepas Mahkamah Tinggi di sini selesai mendengar keterangan saksi pembelaan terakhir.

Pihak pembelaan menutup kesnya selepas saksi kedua iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72, selesai memberi keterangan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memaklumkan, mahkamah selesai mendengar keterangan sejumlah 25 saksi sepanjang 42 hari perbicaraan berlangsung termasuk ketika tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menetapkan 5 April ini bagi mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan penghujahan bertulis pada 9 Mac ini manakala pihak pembelaan membalasnya pada 30 Mac.

“Saya akan memperuntukkan sepanjang hari (pada 5 April) untuk mendengar hujahan. Dengan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana membantu mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung,” ujarnya.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk memanggil semula saksi pendakwaan ke-17, iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Hakim Mohamed Zaini berpuas hati pihak pembelaan gagal memberikan alasan yang munasabah untuk memanggil semula saksi utama pendakwaan itu memberi keterangan.

Pada hemat beliau, jika permohonan tersebut dibenarkan berdasarkan alasan yang diberikan oleh pembelaan, dikhuatiri ia hanya akan menyebabkan Saidi diperiksa berkaitan isu yang telah diputuskan sebelum ini.

Menurut Hakim Mohamed Zaini, beliau telah meneliti nota prosiding berkaitan keterangan Saidi yang mana saksi berkenaan telah disoal balas berhari-hari secara bertubi-tubi oleh pihak pembelaan berhubung isu yang ingin diperiksa semula.

Mahkamah turut mengambil maklum bahawa perkara tersebut telah dibangkitkan oleh pihak pembelaan ketika mengemukakan permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan.

Rosmah, 70, didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN