JOHOR BAHRU: Sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dan kertas siasatan dibuka tahun lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan 42 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,260 kes.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perkara itu didorong oleh perubahan norma baharu kehidupan akibat berlakunya pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak bukan sahaja kepada tingkah laku seseorang, bahkan terhadap emosi dan kesihatan mental mereka.
“Turut mencatatkan peningkatan adalah kes jenayah seksual yang merekodkan 3,271 kes pada tahun lalu berbanding 3,177 kes pada 2020. Melihat kepada peningkatan itu, kementerian telah menubuhkan Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) yang berperanan sebagai ‘first responder’ dan pendengar yang baik dalam menyantuni dan membantu komuniti bagi mengelak berlakunya perkara yang lebih buruk.
“Justeru, kementerian ingin menyeru agar lebih ramai anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyemarakkan program Skuad Waja agar masyarakat yang prihatin dapat dibina selaras dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam pelancaran skuad itu di sini, hari ini
Ucapan Rina dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff.
Rina berkata, sejak program Skuad Waja dilancarkan pada tahun lalu sehingga 3 Februari, seramai 123,721 individu di seluruh negara mendaftar sebagai sukarelawan dan sebanyak 945 kes berjaya dibimbing, manakala seramai 6,837 individu disantuni menerusi program psikososial.
“Saya juga difahamkan bahawa seramai 5,331 individu telah dibantu oleh Skuad Waja dari seluruh negeri menerusi Misi Skuad Waja Santuni Mangsa Banjir,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan program Skuad Waja di Johor mendapat penglibatan seramai 8,886 ahli yang berdaftar melibatkan 8,727 wanita dan 159 lelaki.
Katanya, ahli Skuad Waja Johor juga turut bergiat aktif dengan menyantuni komuniti dan mangsa yang memerlukan dengan seramai 1,113 orang telah dibantu dan disantuni melibatkan 84 program psikososial.
“Sebanyak 52 kes juga dilaporkan dan dibantu merangkumi kes keseimbangan, kewangan, kemahiran dan kepimpinan. Dengan jumlah ahli yang ramai, saya yakin Skuad Waja Johor mampu menjalankan lebih banyak aktiviti turun padang dan menyantuni komuniti, seterusnya membuat laporan secara dalam talian,” ujarnya.
Jelasnya, laporan ini penting kepada kementerian untuk mengkaji bentuk bantuan dan keperluan kepada masyarakat khususnya golongan wanita.- UTUSAN