Kerajaan Melaka dapat kelulusan jual RTK - Utusan Malaysia

Kerajaan Melaka dapat kelulusan jual RTK

MUHAMAD Akmal Saleh memberikan gula-gula kepada kanak-kanak pada Program PICKids bersama ALP di Hospital Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Rakyat Melaka boleh membeli kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 menggunakan sampel air liur dengan harga lebih murah iaitu RM4.90, berbanding harga siling di pasaran ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Bioteknologi Melaka (Biotek Melaka) akan mula mengedar dan menjual kit tersebut di pasaran tempatan selewat-lewatnya awal Mac ini.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memberi kelulusan mengedar dan menjual kit yang kini mendapat permintaan tinggi masyarakat.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan umumkan pasar raya dan farmasi, penjualan kit ini ditawarkan pada harga yang rendah berbanding kit yang telah berada di pasaran.

“Berapa harga sebenarnya kita akan umumkan kemudian. Sekurang-kurangnya kit yang dibeli Biotek Melaka dapat menampung permintaan yang tinggi sejak peningkatan kes Covid-19 akhir-akhir ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) berusia lima hingga 12 tahun bersama Ahli Lembaga Pelawat (ALP) di Hospital Alor Gajah di sini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri juga akan menentukan kaedah pengagihan ke farmasi serta had pembelian.

Katanya, di bawah garis panduan baharu, RTK Antigen Covid-19 menggunakan sampel air liur kini boleh diterima jika seorang itu positif tahap satu dan dua.

Menurutnya, mereka yang positif tidak perlu lagi menjalani ujian RTK Profesional atau membuat RT PCR (Reverse transcription polymerase chain reaction).

“Apa yang penting keputusan positif itu termasuk kontak rapat perlu dikemas kini di MySejahtera sahaja. Mereka tidak lagi perlu pergi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, sebaliknya cukup menjalani kuarantin di rumah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya