BINTULU: Kerajaan komited dalam menyiapkan fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak penghujung tahun ini, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya, sehingga kini projek keseluruhan pembinaan lebuh raya berkenaan sudah mencapai 78 peratus.
“Meskipun berdepan pelbagai cabaran terutamanya pandemik Covid-19, kita yakin projek pembinaan ini akan berjalan dengan lancar seperti mana sasaran yang telah kita letakkan bagi fasa satu projek ini.
“Sepanjang pandemik Covid-19 juga kita berdepan cabaran dari segi tenaga kerja, apabila sempadan ditutup, maka kurangnya tenaga kerja dan juga harga barang yang kian melambung naik,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pembukaan persimpangan bertingkat Nyabau di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, sepanjang pembinaan lebuhraya itu dan berdepan pandemik Covid-19, tiada projek yang terbatal melibatkan kontraktor yang dilantik.
“Alhamdulillah, sepanjang pandemik ini juga kita mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara, satu dengan kita membenarkan EOT (Extension Of Time) disebabkan kita kena pastikan bahawa masalah Covid, tutupnya sempadan, bahan material yang kekurangan menyebabkan satu isu maka di pihak kita membenarkan lanjutan masa.
“Tetapi ada juga di beberapa bahagian yang mana saya diberitahu yang belum lagi siap antaranya Sri Aman, Betong dan Sarikei, jadi saya harap mereka nanti dapat menerapkan segala tenaga kerja mereka kepada bahagian yang masih belum dapat disiapkan,” tambahnya.
Persimpangan bertingkat Nyabau sepanjang 1.2 kilometer merupakan persimpangan bertingkat terpanjang dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Menurutnya, jambatan itu akan menyingkatkan perjalanan dalam bandar ini yang mana sekarang kian sesak dan siapnya jambatan juga dapat memudahkan perjalanan pengguna di Bintulu sekali gus menjadi ikonik baharu.
Fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer bermula dari Telok Melano ke Miri dimulakan pada Oktober 2015 dan dijangka siap penghujung tahun ini. – UTUSAN