PETALING JAYA: Kenaikan harga rumah ketika ini perlu diterima semua pihak berikutan tekanan terhadap harga komponen bahan binaan, kos sara hidup dan inflasi yang berlaku di luar kawalan kerajaan.
Penganalisis industri hartanah, Ahyat Ishak berkata, kos khusus kepada sesuatu hartanah itu mengalami tekanan kenaikan harga sepertimana kos sara hidup yang bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia berikutan berlakunya keadaan inflasi melampau.
Katanya, ini berikutan berlaku kenaikan terutama dari segi kos bahan binaan itu yang memberi kesan kepada harga produk hartanah secara keseluruhan.
“Bayangkan harga besi naik sehingga 50 peratus, maka jika ada apa-apa komponen dalam penyediaan persiapan hartanah itu, sudah pasti ada kenaikan pada harga produk keseluruhan.
“Apabila semua benda naik kerana kenaikan aset dan inflasi itu sendiri yang menyebabkan harga rumah naik, jadi ini di luar kawalan kerajaan berikutan ia pasaran terbuka.
“Namun sudah tentu kerajaan boleh memberi subsidi, tetapi bayangkan kerajaan tak boleh nak menguasai harga telur. Maka sekiranya masalah telur tak boleh nak selesai, jangan cerita komponen bahan besi dan sebagainya bagi hartanah itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan pihak pemaju untuk menawarkan kos pembinaan yang murah atau perlu diselaraskan kos itu bagi mencapai sasaran Satu Keluarga Satu Rumah.
Pada 10 Februari lalu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju meletakkan sasaran ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’ dalam misi menyediakan rumah mampu milik di negara ini.
Berikutan itu, terdapat syor supaya kerajaan menubuhkan Tabung Perumahan Negara bagi mencapai sasaran Satu Keluarga Satu Rumah seperti diuar-uarkan bagi menyelesaikan masalah pembiayaan membabitkan pembeli dalam kumpulan B40 dan M40.
Menurut Ahyat yang juga Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, terdapat perkara lain yang dilihat mempengaruhi kenaikan harga rumah itu apabila kerajaan secara tak sedar meletakkan pelbagai syarat kepada pemaju sekiranya mahu satu pembinaan disiapkan.
Oleh itu, katanya, syarat-syarat itu menyebabkan pemaju perlu menanggung kos berlebihan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh pembeli itu sendiri.
“Bayangkan jika 40 hektar tanah tetapi hanya 20 hektar dapat dijual atau digunakan untuk membina rumah kerana bakinya lagi perlukan pembinaan seperti sekolah, tangki air, kawasan kehijauan, masjid dan jalan yang ditetapkan kerajaan.
“Malah pemaju juga perlu membina infrastruktur utiliti sama ada untuk pembentungan, air dan elektrik yang hanya menjana pendapatan bagi pihak kerajaan dan bukannya pemaju.
“Apabila pemaju pemaju terpaksa menanggung kos-kos itu, mereka akan membahagikan kos itu kepada unit yang dijual yang mana akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat sendiri,” jelasnya.
Tambah beliau, kos membina sesebuah rumah itu juga meliputi kos tanah, bahan mentah, tenaga kerja, pembiayaan dan kos jualan serta pemasaran.
Justeru, katanya, perkara itu bukan satu perkara mudah untuk membolehkan kerajaan campur tangan terutama melibatkan pasaran terbuka.
Dalam pada itu, Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng berkata, tanah adalah kos paling tinggi dalam setiap pembinaan sesuatu hartanah.
Sehubungan itu, katanya, lokasi sesebuah hartanah yang dipilih memainkan peranan dengan harganya.
“Apabila keadaan sekarang yang kekurangan tempat strategik, rakyat mungkin perlu berfikir untuk tinggal jauh dari kawasan premier yang harganya lebih murah, berkualiti dan persekitaran kondusif.
“Ini kerana berkemungkinan tinggal jauh dari tempat kerja atau kawasan bandar bukan lagi satu keutamaan, maka kos lain dapat dijimatkan,” katanya. – UTUSAN