KUANTAN: “Abang semakin pendiam berbanding sebelum ini yang begitu mudah bila diajak berbual”.
Demikian antara kata-kata Nurul Asyikin Mohamed, 38, adik kepada Fadzely Mohamed, 40, nelayan yang hilang ketika turun memancing bersama rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38.
Bot gentian kaca dinaiki dua sahabat itu terbalik akibat tersangkut pada tali bot pukat tunda di perairan Karang Tanjung Pelindung dua hari lalu.
Bagaimanapun, Abdul Mutalib berjaya diselamatkan nelayan lain.
Kata wanita itu, Fadzely ke laut bagi mencari modal untuk membaiki bot miliknya yang rosak namun hajat itu tidak kesampaian.
Dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, Fadzely bersama Abdul Mutalib keluar memancing kira-kira pukul 7 pagi.
Kipas enjin bot yang mereka naiki terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda pukat di kawasan perairan itu dan menyebabkan kedua-duanya jatuh ke laut.
Dalam pada itu, Nurul Asyikin berkata, seluruh ahli keluarga berdoa mengharapkan jasad Fadzely ditemukan dengan segera.
“Saya harap abang dijumpai sama ada hidup atau pun mati. Saya kesian melihat mak, ayah dan anak sedara demam kerana teringatkan abang, ” katanya ketika ditemui di pantai Kampung Baru Beserah di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Mutalib berkata, ketika itu mereka dalam perjalanan ke daratan sebelum kipas bot tersangkut pada tali pukat tunda.
Katanya, apabila enjin bot sudah mati mereka cuba memotong tali pukat tunda berkenaan namun tidak sempat dan ketika itu bot sudah terlingkup.
“Saya sempat melihat Fadzely berpaut pada tali pukat tetapi tiba-tiba hilang semasa bot pukat tunda mula menarik pukat tersebut.
“Saya berjaya berpaut pada bot yang terbalik kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan bot nelayan yang melalui kawasan kejadian itu.
“Selama 12 tahun menjadi nelayan, kejadian ini merupakan yang pertama berlaku dalam hidup saya dan pastinya akan diingati sampai bila-bila,” katanya.- UTUSAN