KUALA LUMPUR: Tiga orang murid yang memenangi pertandingan mewarna buku Azerbaijan, baru-baru ini diraikan dalam majlis ringkas di kedutaan tersebut di Jalan Ampang, hari ini.
Mereka ialah Dhiya Amanee Azlan, 8, Muhammad Rayyan Hakeem Mohd Hanif, 8, dan Ariana Khadeeja Saiful Nizam, 9 dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2.
Mengiringi mereka ialah dua guru iaitu Azlan Shafei dan Fatin ‘Izzati Hussin Pakri yang tiba di kedutaan tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Mereka diberi penerangan ringkas tentang Azerbaijan oleh Setiausaha Ketiga Kedutaan, Sabina Yolchuyeva sebelum dibawa melawat persekitaran kedutaan tersebut.
Pada akhir program, Duta Besar Azerbaijan, Irfan Davudov menyampaikan hadiah wang tunai, buku dan pamflet mengenai Azerbaijan kepada para pemenang.
Buku mewarna Coloring and Exploring Azerbaijan terbitan Kedutaan Azerbaijan di Malaysia itu mempamerkan budaya warisan Azerbaijan untuk pengetahuan am kanak-kanak.
Ia bertujuan memperkenalkan negara Kaukasus itu kepada warga tempatan terutamanya anak muda seawal peringkat sekolah rendah.
Menariknya mengenai buku ini kerana ia bukan sahaja dapat menggembirakan kanak-kanak untuk mengisi lapang mereka, bahkan dapat mengetahui mengenai dunia luar.
Buku ini mengandungi 10 ilustrasi dan setiap lukisan turut dilampirkan penerangan ringkas. Antaranya Menara Api yang dibina di Baku, ibu kota Azerbaijan.
Tidak ketinggalan dipaparkan ialah Istana Shusha di bandar Shusha, yang turut dikenali sebagai pusat kebudayaan Azerbaijan yang dibina pada abad ke-18. – UTUSAN