PUTRAJAYA: Kanak-kanak yang mempunyai simpanan tunai melebihi kadar nisab ditetapkan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing diwajibkan membayar zakat wang simpanan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi hantaran yang disiarkan dalam laman sosial rasminya.
Menurut pencerahan agensi tersebut, ramai ibu bapa yang mungkin terlepas pandang untuk tampil menunaikan kefarduan itu kerana tidak tahu bahawa kanak-kanak juga wajib berzakat.
“Selama ini ibu bapa hanya menumpukan zakat fitrah meliputi anak-anak sebagai tanggungan pada bulan Ramadan tetapi ramai tidak tahu kanak-kanak juga dikenakan zakat,” terangnya.
Tuntutan berkenaan ujar PPZ, perlu dilaksanakan apabila anak kecil tersebut mencapai syarat wajib iaitu beragama Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisah dan tempoh haul setahun.
Justeru ujarnya, berdasarkan ketetapan asas syarak itu, tidak pula dinyatakan bahawa hanya yang akil dan baligh atau berakal dan cukup umur, sebagai syarat sah bagi dikenakan zakat.
Sebaliknya, kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun juga wajib membayar zakat sekiranya memenuhi lima syarat ditetapkan meskipun cuma budak tadika atau masih sekolah rendah.
Zakat berkenaan tegas PPZ, dikenakan terhadap harta kekayaan dimiliki oleh kanak-kanak itu dengan di Wilayah Persekutuan mesti melebihi nisab minimum diputuskan iaitu RM15,762.
Agensi itu memberi contoh mudah rekaan untuk pemahaman umum iaitu anak Tuan Akhir Ashaari iaitu Yara Alina berumur lima tahun menjana pendapatan sejak kecil sebagai model cilik.
“Dia ada simpanan sebanyak RM100,000 setahun di dalam akaun banknya dan adalah wajib ke atas bapanya itu menyempurnakan zakat bagi mewakili pihak anaknya itu,” tambah PPZ.
Secara congak kiraan mudah zakat, sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah RM100,000 yang disimpan kanak-kanak tersebut bersamaan RM2,500 untuk pembayaran zakat tahun semasa.
Menyentuh persoalan bagaimana anak yang masih muda lagi usia membayar zakat simpanan itu, PPZ berkata, ia menjadi tanggungjawab ibu bapa atau si penjaga bagi menunaikannya.
Pada masa sama, golongan dewasa haruslah memainkan peranan mendidik anak sejak kecil mengenai kewajipan berzakat sebagaimana sering tidak lupa mengingatkan penjagaan solat.
PPZ turut menyediakan pautan daripada portalnya berhubung cara pengiraan wang zakat dan pelbagai informasi lain berkaitan Rukun Islam yang keempat itu menerusi www.zakat.com.my.
Ia juga ada menawarkan kaedah bayaran atas talian antaranya kaunter zakat digital, pautan laman PPZ-MAIWP, aplikasi MyZakat, MyTemujanji, perkhidmatan Door-To-Door dan Ride 2U.
Masyarakat Islam di tiga Wilayah Persekutuan itu juga boleh membayar secara manual di kaunter tetap yang melibatkan 10 cawangan PPZ selain kaunter bergerak dan kaunter pandu lalu.
PPZ yang ditubuhkan pada 1991 lalu merupakan agensi zakat pertama dikorporatkan di Malaysia dengan jumlah pembayar individu ketika ini dianggarkan sudah melebihi 500,000 orang. –UTUSAN