KOTA BHARU: Anak kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kelmarin.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, perkara itu disahkan pihak Kementerian Kesihatan, selain turut menafikan dakwaan kononnya cecair vaksin dibuang terlebih dahulu sebelum menyuntik anak Khairy.
“Sekiranya benar anak beliau (Khairy Jamaluddin) tidak disuntik, kita akan siasat dan lihat video yang ditular itu.
“Jika semua tidak percaya, kita boleh memanggil individu yang menyuntik anak beliau. Semua orang sudah lihat, anak Menteri Kesihatan disuntik vaksin,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PICKids di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.
Noor Azmi berkata, adalah mustahil untuk Kementerian Kesihatan menipu soal suntikan vaksin kepada kanak-kanak itu.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 17 saat memaparkan seorang petugas kesihatan didakwa membuang cecair vaksin Covid-19 sebelum menyuntik Raif Averroes Jamaluddin yang merupakan anak bongsu Khairy Jamaluddin.
Ekoran itu, Khairymengesahkan anak bongsunya, Raif menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-Kanak (PICKids) hari ini.
Menerusi ciapan di Twitter, Khairy memaklumkan, anaknya itu selesai menerima suntikan dos pertama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Alhamdulillah selesai vaksinasi dos pertama untuk anak bongsu saya Raif di WTCKL.
Ciapan Khairy itu turut mendapat reaksi dari Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
“Alhamdulillah,” itu reaksi Noor Hisham ringkas. – UTUSAN