PUTRAJAYA: Hampir sejuta orang ‘dikurung’ di rumah setiap hari jika perintah kuarantin terus dilaksanakan terhadap kes kontak rapat kepada individu positif Covid-19.
Mengambil kira purata 25,000 kes positif ketika ini, jumlah mereka yang menjadi kontak rapat adalah meningkat empat kali ganda jika sekurang-kurangnya empat orang dikesan kontak rapat kepada satu kes positif.
Ini bermakna 100,000 orang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) dan ia bertambah sehingga 700,000 orang selama tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari dikuarantin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, jika pelaksanaan perintah kuarantin ini terus dilaksanakan kepada kes kontak rapat, ia boleh melumpuhkan sistem ekonomi dan kesihatan apabila pekerja tidak boleh hadir bekerja apatah lagi apabila melibatkan petugas kesihatan.
Justeru, kata beliau, langkah Kementerian Kesihatan untuk memansuhkan perintah kuarantin kepada kes kontak rapat adalah tepat dalam usaha negara bakal beralih kepada situasi endemik.
“Pada waktu ini negara dalam proses nak beralih kepada endemik, kita perlukan langkah-langkah sebegitu kerana setiap kali orang positif dia punya kontak rapat sekurang-kurangnya meningkat sekali ganda daripada kes positif.
“Kalau berterusan begini, ia umpama mini lockdown kerana apabila seseorang itu dikuarantin, mereka tidak boleh keluar ke mana-mana. Kalau terus ikut cara ini akan menimbulkan masalah sebagai contoh di hospital swasta sendiri ramai petugas kesihatan dikuarantin kerana kontak rapat sedangkan dia bukan positif. Ia boleh menjejaskan sektor pekerjaan dan kesihatan,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, protokol baharu isolasi bagi kontak rapat pesakit Covid-19 akan dikeluarkan dan perintah kuarantin dimansuhkan.
Pada masa ini, langkah itu telah pun dimulakan dalam kalangan petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 tanpa gejala yang mana mereka tidak lagi menjalani kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan pada hari tertentu.
Satu pekeliling mengenai perkara itu telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan pada 15 Februari lalu dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan memaklumkan perkembangan ini kepada pekerja kesihatan di sektor swasta.
Bagaimanapun, Kuljit berkata, tindakan melonggarkan perintah kuarantin sudah tentu ada risikonya, namun langkah itu perlu diseimbangkan di samping individu kontak rapat berkenaan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan dia benar-benar 100 peratus selamat.
Katanya, KKM boleh mengeluarkan arahan tertentu kepada individu kontak rapat ini seperti kekerapan membuat ujian saringan kendiri sebelum keluar ke tempat awam sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari.
“Mengikut kajian, varian Omicron tidak menyebabkan kes menjadi teruk berbanding Delta walaupun kadar kebolehjangkitan tinggi. Ditambah dengan dos penggalak, kes kemasukan ke hospital adalah kurang dalam kategori 3, 4 dan 5.
“Bagaimanapun, mereka (kes kontak rapat) perlu berhati-hati, pakai pelitup muka berganda, seboleh-bolehnya menjauhkan diri daripada orang terutama golongan berisiko dan pastikan diri sendiri 100 peratus selamat sebelum keluar,” katanya.
Menyokong pendapat sama, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, pemansuhan kuarantin ini adalah bersyarat dan dikawal dengan beberapa langkah tertentu iaitu bagi mereka yang tidak bergejala dan bukan golongan berisiko tinggi.
Kata beliau, mereka yang berusia melebihi 60 tahun dan berisiko tinggi perlu melaksanakan ujian kendiri setiap hari selama lima hari atau sepanjang tempoh menjalani kuarantin.
“Kalau individu kontak rapat ini bergejala mesti buat ujian kendiri atau pergi membuat pemeriksaan di klinik. Jika mereka berisiko tinggi perlu buat ujian kendiri setiap hari. Mereka ini tidak dibenarkan bekerja.
“Langkah pemansuhan kurantin kes kontak rapat ini amat wajar memandangkan negara sudah ‘hidup’ dengan kes Covid-19 selama dua tahun. Walaupun varian Omicron senang merebak tapi kadar jangkitan tidak serius sebab itu kes positif meningkat mendadak kini.
“Kalau berterusan melaksanakan kuarantin kes kontak rapat, perkhidmatan kesihatan khususnya akan mengalami kekurangan tenaga kerja dan boleh menjejaskan sistem kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN