PUTRAJAYA: Tindakan segelintir penduduk membakar sampah secara terbuka di dua lokasi di ibu negara semalam terbongkar apabila perbuatan itu dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Kegiatan pencemaran udara itu dipercayai sengaja dilakukan pada hujung minggu dengan mereka membuat andaian kononnya pihak JAS tidak bekerja ketika cuti hari Ahad.
Bagaimanapun, tanggapan itu meleset apabila pegawai penguatkuasaan JAS datang secara mengejut hasil aduan orang awam di Taman Tun Dr. Ismail dan Seksyen 10 Wangsa Maju.
Serbuan tersebut menemukan kesan pembakaran terbuka berupa longgokan sampah dan ranting kayu yang dilakukan penduduk setempat bagi mudah melupuskan sisa pepejal.
“Pegawai JAS telah bertindak beri amaran tegas dan menerangkan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka. Penduduk juga diingatkan melalui peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika disabitkan kesalahan itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000,” kata agensi itu menerusi hantaran dalam akaun sosial rasminya.
Pelaku jenayah pencemaran alam sekitar tersebut turut boleh dipenjara sehingga lima tahun atau menerima kedua-dua hukuman berkenaan sekiranya didapati bersalah di mahkamah.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang kes berkaitan pembakaran terbuka kepada ibu pejabat JAS menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel terus [email protected]. – UTUSAN